MY FEATURE WRITING

Kemalangan Bas Ekspres Satu Fenomena.  

            Apabila terbaca satu berita mengenai sebuah kemalangan bas ekspres di Taiping pada 13 Ogos 2007, kira-kira pukul 4.30 pagi yang mana melibatkan seramai 22 orang penumpang terbunuh, 10 orang yang lain cedera, 1 daripadanya parah, ia  merupakan kemalangan  terburuk yang pernah berlaku dalam sejarah negara pada tahun ini.

            Yang lebih mengejutkan, kemalangan ngeri itu berlaku semasa bas ekspres “Super” itu sedang menuruni bukit sebelum terbabas dan merempuh penghadang jalan sebelah kiri dan terjunam ke dalam parit sedalam kira-kira lima meter di KM 229 Lebuhraya Utara Selatan, di Bukit Gantang.

 Bas ekspres itu remuk dan bumbungnya tercabut serta mengakibatkan beberapa orang penumpang tercampak dan sebahagiannya tersepit di dalam bas itu. Bas itu  membawa 29 orang temasuk pemandu dan pembantu pemandu dalam perjalanan dari Melaka ke Butterworth.

            Apa yang berada di benak fikiran kita ialah, kemalangan yang berlaku ini adalah berpunca daripada pelbagai faktor namun fenomena ini menjadi semakin berlarutan sehinggakan masyarakat di negara ini mentafsirkannya sebagai ” musim bas terbalik” atau “badi bas ekspres”. Adakah faktor utama kepada berlakunya kemalangan bas-bas ekspres ini berpunca daripada kecuaian pemandu itu sendiri atau berpunca daripada faktor-faktor yang lain?

            Namun begitu ramai yang bersetuju bahawa kecuaian manusia merupakan penyebab kemalangan jalan raya yang paling utama. Dari perspektif  psikologi, terdapat ciri-ciri individu yang mempunyai kecenderungan yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya ini. Ciri-ciri tersebut adalah seperti bersifat ekstrovert, keakuran conformity, dan juga sifat psikotik ( Norazimah Ibrahim dan Jaminah Ibrahim, 1999).  Kajian Innaci Das dan Wan Rafaei mendapati bahawa terdapat hubungan pemandu yang bersifat ekstovert dengan kemalangan jalan raya.

 Ini bermakna mereka yang lebih bersifat “go lucky dan outgoing” lebih cenderung untuk menghadapi kemalangan jalan raya. Sikap keakuran juga ada hubungan dengan kemalangan jalan raya di mana pemandu yang lebih akur dengan peraturan jalan raya lazimnya tidak cenderung untuk mengalami kemalangan berbanding dengan pemandu yang tidak atau kurang akur kepada undang-undang jalan raya. Sifat psikotik pula ialah di mana individu yang memaparkan sifat seperti suka bersendirian atau ganas dan agresif, tidak berperikemanusiaan dan tidak faham masalah orang lain adalah lebih cenderung mengalami kemalangan jalan raya.

            Selain daripada faktor-faktor di atas, faktor usia, jantina dan corak pendidikan boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya. Mengikut kajian yang telah dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia, terdapat tiga faktor utama kemalangan jalan raya boleh berlaku. Faktor-faktor tersebut ialah:- faktor manusia 67%, keadaan jalan dan alam sekitar 28%, keadaan kenderaan 5%.

Bagi faktor manusia, kemalangan boleh berlaku kerana pemandu terlibat memandu lebih hadlaju, menggunakan lorong kecemasan, mengikut kenderaan terlalu rapat, memotong garisan berkembar, memotong barisan, keletihan, mengantuk atau membabitkan penggunaan dadah. Bagi faktor jalan raya dan alam sekitar pula, punca kemalangan berpunca dari jalan yang berselekoh tajam dan berlubang. Sementara faktor kenderaan pula, berpunca daripada lampu brek tidak menyala atau rosak dan brek rosak.

            Walaupun banyak faktor-faktor yang merupakan punca kepada kemalangan jalan raya, namun jauh di sudut hati mengatakan sikap pemandu itu sendiri adalah faktor utama kepada keselamatan diri mereka sendiri dan nyawa penumpang-penumpang lain ketika berada di jalan raya. Apabila mengingati peristiwa kemalangan bas ekspres yang berlaku baru-baru ini, ramai yang dihantui dengan perasaan ketakutan dan kebimbangan untuk pulang ke kampung dengan menaiki bas ekspres lebih-lebih lagi pada musim perayaan yang bakal menjelma tidak lama lagi.   

            Mana tidaknya ekoran kejadian kemalangan bas ekpres yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan, di Bukit Gantang, Taiping baru-baru ini banyak pula kemalangan bas ekspres yang berlaku antaranya Bas Ekspres Triton yang terbabas sebelum terbalik di kilometer 30.3, Jalan gua Musang-Kuala Krai pada 21 Ogos 2007 dan menyebabkan seorang penumpang terbunuh manakala 28 lain tecedera, termasuk empat parah. Selepas itu, sebuah Bas Ekspres Konsortium yang remuk teruk selepas melanggar sebuah treler di kilometer 362, Lebuhraya Utara-Selatan di Slim River pada 22 Ogos 2007 pada 12.30 malam dan mengakibatkan 25 penumpang bas nyaris maut.

Dan pada 12 September 2007 di Alor Setar dalam kejadian kemalangan sebuah bas sekolah yang terbalik di kilometer 12.8 Jalan Gulau-Baling di Kampung Batu Lapan Tanjung Pari menyebabkan 7 maut, 43 tercedera termasuk 9 daripadanya parah.

            Apa yang mengayat hati ketika terbaca mengenai kemalangan bas ekspres yang terburuk berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan, di Bukit Gantang sebulan yang lepas, semua mangsa kejadian di situ masih berada dalam bas termasuk ada mangsa yang bertindih dengan kecederaan parah di kepala. 

Dan juga salah seorang mangsa wanita yang terkulai sambil memangku anak kecilnya yang masih berusia tiga tahun maut di tempat kejadian dengan keadaan wanita itu yang kepalanya terpusing ke belakang sambil memangku anaknya begitu mengayat perasaan. Budak kecil yang berusia tiga tahun itu terselamat dan bapanya juga turut terbunuh dalam nahas kemalangan ngeri itu.

            Apakah tindakan wajar yang seharusnya patut diambil oleh semua pihak? Adakah kita hanya mernunding jari kepada satu pihak sahaja?  Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy berkata siasatan awam mendapati kemalangan ini dipercayai akibat kecuaian manusia. Cara-cara lain untuk mengatasi peningkatan kemalangan jalan raya yang sering berlaku ini ialah beberapa strategi boleh dilakukan seperti dari sudut penguatkuasaan, pendidikan dan kejuruteraan.

 Ketiga-tiga strategi ini merupakan strategi yang amat penting pada fikiran saya sendiri dan harus dipertingkatkan pelaksanaannya. Dalam melaksanakan ketiga-tiga strategi ini, teknik psikologi boleh diaplikasikan agar lebih berkesan dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya.

            Dari strategi penguatkuasaan, semua pihak terlibat seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pasukan polis haruslah mempertingkatkan operasi penguatkuasaan untuk memastikan undang-undang dan peraturan jalan raya dipatuhi. Percaya atau tidak, kehadiran fizikal anggota polis secara psikologinya memberi pengajaran dengan menakutkan pemandu untuk melanggar peraturan.

 Hukuman denda juga haruslah tegas kepada pesalah mengikut kategori kesalahan. Dengan ada undang-undang yang membawa hukuman yang menakutkan maka sebahagian besar pengguna jalan raya akan takut terlibat dalam salah laku. Undang-undang tidak akan sempurna sekiranya ia tidak dilengkapi dengan penguatkuasaan undang-undang.

            Dari strategi pendidikan pula, pengguna jalan raya harus disemaikan dengan pengetahuan dan kesedaran mengenai keselamatan di jalan raya. Untuk mengurangkan kemalangan yang berlaku, pengguna jalanraya harus dididik supaya mempunyai kesedaran keserlamatan jalanraya dan juga mempunyai sahsiah diri yang betul sebagai pengguna jalan raya.  Contohnya pendidikan di sekolah melalui program yang berkaitan dengan keselamatan di jalan raya. Ibu bapa seharusnya bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka untuk lebih berhemah di jalan raya.

            Dari segi kejuruteraan pula, struktur atau keadaan jalan raya seharusnya tidak diabaikan dari segi pembaikan strukturnya.

             Cara-cara mengatasi melalui penyelidikan juga boleh membantu kita menyelesaikan masalah ini dengan lebih baik dalam jangka masa yang panjang, tetapi tidak boleh menyelesaikan masalah ini secara langsung. Secara kasarnya penyelidikan yang harus dibuat untuk menyelesaikan masalah kemalangan ini adalah seperti dalam bidang ilmu kaji kejenayahan (criminology) dan pengurusan jalan. Penyelidikan ini diyakini boleh membantu mengurangkan kemalangan jiwa yang berlaku kerana denagan adanya sistematik yang terurus, maka mengurangkan tekanan jiwa dan salah laku jalan raya.

            Susulan dari itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan satu Ops Bersih 1 dari 22 hingga 30 ogos lalu, dan seterusnya Ops Bersih II yang bermula sejak 3 September hingga hari ini. Sebanyak 5,213 bas ekspres dengan 751 saman dikeluarkan dalam Ops Bersih II ini.  Ops Bersih II ini akan disambung dengan Ops Sikap 2007 sempena musim perayaan  untuk bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya.

            Namun begitu sifat sabar harus ada pada  semua pemandu ketika berada di jalan raya sebagaimana dibuktikan dalam ayat 153 surah al-Baqarah yang bermaksud, “ Wahai sekelian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan denagan bersabar dan dengan mengerjakan sembahyang, kerana sesungguhnya Allah bersama o’rang-orang yang sabar. Semoga kemudahan jalan raya di negara ini bukanlah sebagai medan atau lorong maut yang menjadi igauan mimpi ngeri bagi setiap masyarakat kita pada setiap tahun dan semoga semua roh-roh mangsa kemalangan jalan raya ditempatkan bersama-sama para solehin dan dirahmati. Al-fatihah. 

           

           

             

           

           

           

           

             

REFERENCES

1)      Mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms

2)      www.johordt.gov.my/adun/home.php?iddun=4

3)      Ms.wikipedia.org/wiki

4)      Abdul Rahman Md.Aroff.1999.Pendidikan Moral:Teori Etika dan Amalan Moral, Serdang, Penerbit Universiti Putra Malaysia.

5)      Ahmad Nazri Mohamad.2005: Sopan di Pejabat, Samseng di Jalan,Arkib Berita Harian Metro.

6)      Khairul Azhar b Idris.2005. Keutuhan Moral Bantu Banteras Jenayah. Artikel Semasa 2005. IKIM.

7)      Kosmo.

8)      Metro.

9)      Utusan Malaysia.

10)  Berita Harian

Published in: on April 2, 2008 at 11:21 am  Leave a Comment  

The URI to TrackBack this entry is: https://804l.wordpress.com/2008/04/02/my-feature-writing/trackback/

RSS feed for comments on this post.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: